fb fb fb fb fb

Pemberian subsidi diesel kepada nelayan Zon C2 dipertimbang

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup bercakap pada persidangan Dewan Rakyat di Parlimen/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 November - Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengembalikan semula pemberian subsidi diesel kepada nelayan Zon C2 yang dihentikan sejak 2019 berikutan dasar rasionalisasi subsidi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata dasar sedia ada menyaksikan pengurangan kelayakan diesel di bawah Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan daripada 80 juta liter kepada 70 juta liter, namun kerajaan kekal prihatin terhadap tekanan kos operasi yang ditanggung komuniti nelayan.

“Pertimbangan untuk mengembalikan semula pemberian subsidi kepada kumpulan ini masih dibincangkan di peringkat tertinggi, dengan mengambil kira keperluan penelitian menyeluruh terhadap implikasi fiskal dan dasar sedia ada,” katanya.

Datuk Seri Arthur berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata KPKM sedang melaksanakan pemetaan digital berasaskan Sistem Maklumat Geografi (GIS) bagi memperkukuh pengurusan sumber air pertanian di semua jelapang padi.

Projek itu melibatkan integrasi data daripada Kajian Pengurusan Sumber Air Pertanian dengan kerjasama Pusat Geospatial Negara, dan dijangka siap menjelang akhir 2026.

Menurut beliau, pangkalan data bersepadu itu bakal menjadi asas kepada pembangunan infrastruktur pertanian moden, selain menyokong pengurusan air yang lebih cekap dan berimpak tinggi.

Datuk Seri Arthur turut memaklumkan bahawa usaha pemodenan infrastruktur pengairan dan saliran kini giat dijalankan melalui penggunaan sistem automasi serta Kawalan Pemerolehan Data Penyeliaan (SCADA) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan air di kawasan jelapang dan luar jelapang.

Dewan Rakyat kemudiannya meluluskan anggaran perbelanjaan pengurusan dan pembangunan berjumlah RM6.87 bilion yang diperuntukkan kepada KPKM dalam Belanjawan 2026 selepas dibahaskan 23 Ahli Parlimen.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ