fb fb fb fb fb

Umat Islam dinasihatkan tidak mudah terpedaya ajaran sesat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata dalam satu kenyataan/FB JAKIM

PUTRAJAYA, 11 November - Umat Islam dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu atau kumpulan yang mendakwa mempunyai keistimewaan agama tertentu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata umat Islam juga diingatkan agar mendapatkan panduan daripada pihak berkuasa agama sebelum menyertai mana-mana kumpulan keagamaan, serta melaporkan aktiviti mencurigakan yang boleh menjejaskan akidah masyarakat.

"Kerajaan MADANI komited memperkukuh pendekatan dakwah, pendidikan dan penguatkuasaan bagi memastikan umat Islam kekal berpegang kepada ajaran Islam yang sahih berasaskan Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias.

Usaha berterusan tersebut diharap menjadi benteng kepada umat Islam daripada terjebak dengan ajaran sesat serta mengekalkan keharmonian ummah di negara ini," kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas mengenai tindakan tegas Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menahan sekumpulan individu dikaitkan dengan ajaran dikenali sebagai Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi baru-baru ini.

Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyokong penuh tindakan JAIP.

"Usaha membendung fahaman menyeleweng bukan hanya melibatkan aspek penguatkuasaan, tetapi juga pemeliharaan kesucian Islam dan keselamatan akidah umat," kata beliau.

JAKIM akan terus memperkukuh kerjasama dengan jabatan agama Islam negeri bagi memastikan tindakan yang dilaksana selaras dan bersepadu.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ