JOHOR BAHRU, 21 Julai - Latihan khas selama seminggu akan diberikan kepada kumpulan pertama sukarelawan Southern Volunteers, bagi membantu kelancaran perkhidmatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
Langkah ini dilaksana sementara menanti penempatan kakitangan baharu daripada Kementerian Kesihatan susulan pertemuan bersama Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, minggu lalu.
Menurut Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Ling Tian Soon, seramai 100 sukarelawan akan terlibat dalam fasa pertama program ini.
"Mereka akan menjalani kursus dan latihan praktikal sebelum ditugaskan secara rasmi di kedua-dua hospital tersebut", katanya .
Kerajaan negeri akan menyediakan elaun sebagai tanda penghargaan kepada para sukarelawan atas komitmen mereka.
"Setakat ini, Johor mempunyai lebih 29,000 petugas kesihatan, namun masih memerlukan sekitar 4,600 petugas merangkumi pelbagai bidang untuk menampung permintaan perkhidmatan", beliau memberitahu ketika menghadiri majlis penyerahan mesin echocardiography di HSI Johor Bahru.