fb fb fb fb fb

Banci Ekonomi 2026 bermula Februari, libatkan 1.2 juta pertubuhan perniagaan

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menyampaikan taklimat pada Sesi Libat Urus Banci Ekonomi 2026 bersama Pemegang Taruh Negeri Selangor/ Foto BERNAMA

KLANG, 11 November - Banci Ekonomi 2026 akan dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bermula Februari tahun depan melibatkan 1.2 juta pertubuhan perniagaan di seluruh negara.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Selangor merekodkan lebih 300 ribu pertubuhan perniagaan berdaftar, iaitu jumlah tertinggi berbanding negeri lain.

Menurutnya, pihak DOSM memerlukan kerjasama daripada semua peneraju industri di Selangor bagi menjamin pelaksanaan banci ini berjalan dengan lancar dan tepat.

Beliau turut menekankan kepentingan ketepatan data sebagai asas bagi pelaksanaan semua dasar dan strategi pembangunan negeri.

"Kita adakan sesi libat urus ini untuk memaklumkan lebih awal kepada peneraju-peneraju industri, pusat-pusat perniagaan agar mereka menyampaikan tentang pelaksanaan (banci) ini supaya memberikan kerjasama erat.

"Dan kita tahu, negeri Selangor sumbangan ekonominya kepada ekonomi Malaysia mencecah lebih daripada 26% setahun. Jadi kita nak supaya dapatan banci ekonomi di negeri Selangor ini boleh mencerminkan senario yang membolehkan usaha untuk merancakkan ekonomi.

"Berdasarkan data banci yang terkini nanti, kita boleh mengetahui juga tentang penggunaan teknologi, penggunaan automasi, penggunaan pekerjaan mahir atau tak mahir dan sebagainya," katanya selepas Sesi Libat Urus Banci Ekonomi 2026 Bersama Pemegang Taruh Negeri Selangor di sini.

Datuk Seri Dr Mohd Uzir juga berkata, data yang dikumpul akan membantu kerajaan negeri menilai kekuatan ekonomi mengikut sektor dan skala perniagaan daripada industri mikro sehingga ke syarikat besar.
 


 

MASNIZA AWANG KECHIK