SEPANG, 11 November – Semua kementerian, agensi, industri dan komuniti diseru mengetepikan pendekatan secara "silo" serta bekerjasama secara menyeluruh bagi memastikan penggunaan jalan raya di negara ini lebih selamat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah tersebut sejajar dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030 yang menyasarkan pengurangan kadar kematian sebanyak 50 peratus menjelang akhir dekad ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya menegaskan usaha tersebut memerlukan lebih daripada sekadar prasarana dan penguatkuasaan.
"Saya komited memastikan setiap keputusan yang dibuat di peringkat nasional diterjemahkan kepada perlindungan sebenar di lapangan. Kita tidak boleh bekerja secara berasingan. Keselamatan jalan raya tidak seharusnya menjadi tanggungjawab satu kementerian sahaja. Semua mesti memikul tanggungjawab bersama," menurut beliau ketika menyampaikan ucaptama pada Kongres Keselamatan Jalan Raya 2025 yang diadakan bersempena Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) di sini.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Tambahnya lagi, antara keutamaan kerajaan adalah mempertingkat keselamatan kenderaan berat melalui pemasangan tali pinggang keledar berfungsi, pengehad kelajuan, penambahbaikan standard rehat dan latihan pemandu serta penggunaan sistem telematik bagi meningkatkan akauntabiliti, selain menambah baik zon sekolah dan kemudahan pejalan kaki, merawat lokasi berisiko tinggi serta memperhebat penguatkuasaan terhadap kesalahan memandu laju dan muatan berlebihan.
Beliau turut menegaskan keperluan pendekatan pendidikan moden berasaskan teknologi untuk menjadikan pembelajaran keselamatan jalan raya lebih interaktif dan relevan.