KUALA LUMPUR, 21 Julai - Pemberi maklumat yang ingin dilindungi tidak boleh membuat pendedahan terus kepada media sebaliknya perlu merujuk kepada agensi penguat kuasa yang sah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ia bagi memastikan pihak pemberi maklumat dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).
Selain penting dalam memastikan maklumat yang diberikan sahih, ia juga berperanan mengelakkan risiko pendedahan rahsia negara.
"Ramai yang bertanya mengapa pemberi maklumat ini pergi kepada media, sedangkan dia juga boleh dilihat sebagai salah seorang yang dibuat dituduh.
"Sepatutnya, pemberi maklumat mesti melaporkan kepada agensi yang bertanggungjawab kerana agensi perlu menilai kesahihan maklumat tersebut," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Dewan Rakyat di sini.