KUALA LUMPUR, 11 November - Kementerian Kesihatan (KKM) terus berusaha menarik minat petugas kesihatan untuk berkhidmat di fasiliti kesihatan KKM termasuk di luar bandar menerusi tawaran insentif yang menarik.
Menterinya Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata beberapa insentif diperkenalkan bagi menjamin kebajikan mereka yang bertugas di kawasan luar bandar.
"Antara insentif yang diberikan kepada petugas kesihatan yang bertugas di luar bandar ialah Elaun Balik Kampung, Bayaran Insentif Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (BIMLTK) antara RM500 hingga RM1,500 sebulan dan Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) antara RM135 hingga RM210 sebulan.
"KKM juga menyokong sepenuhnya usaha Kerajaan melalui Belanjawan 2026 dalam meningkatkan kemudahan asas dan infrastruktur awam di kawasan luar bandar," kata beliau dalam persidangan Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, KKM sedang meneliti pelaksanaan pengkongsian beban tugas antara pegawai perubatan di sektor kesihatan awam dan perubatan, bagi membolehkan penugasan silang dilaksanakan.
Langkah itu bertujuan memastikan pembahagian tugasan 'on-call' lebih adil serta seimbang dari segi jumlah jam bekerja.
Sementara itu, Datuk Seri Dr. Dzulkefly berkata antara faktor kekurangan kakitangan dalam sektor kesihatan kerana kurangnya jumlah keluaran lepasan pelajar dalam bidang berkenaan.
"Keluaran pelatih dari Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) serta kejururawatan peringkat diploma dari institusi pengajian tinggi dalam negara belum mampu menampung permintaan," kata beliau.
((TEAMPAR/NURUL))