IPOH, 8 September- Seorang wanita berusia 29 tahun mengalami kecederaan di kepala akibat dihempap dahan pokok yang tumbang ketika berada di bawah gazebo (pondok kecil) dalam kejadian di Rimba Segari, Pantai Remis, kira-kira 87 kilometer (km) dari sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihak bomba menerima panggilan pada 8.24 malam dan mendapati pokok tersebut turut menghempap sebuah kenderaan milik keluarga mangsa.
“Mangsa telah dibawa oleh ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan. Anggota bomba kemudian membuat kerja-kerja pemotongan dahan pokok yang menghalang laluan kenderaan di kawasan itu ,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba Pantai Remis, Muhammad Hanafi Mohamed Rasidi, berkata mangsa datang beriadah di kawasan berkenaan bersama keluarga dan dikatakan sedang memasak di bawah gazebo itu.
“Ketika itu kedaaan angin agak kencang menyebabkan pokok berhampiran tumbang dan menghempap gazebo dan kenderaan mereka,” katanya.- BERNAMA