fb fb fb fb fb

JaPen Perlis laksana lebih 50 program patriotik

Foto RTM

ARAU, 8 September- Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Perlis telah melaksanakan lebih 50 program patriotik dengan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat di Perlis.

Program turut melibatkan kesemua 45 Komuniti MADANI di seluruh Perlis dengan menjelajah ke segenap kawasan kampung atau kawasan penempatan penduduk.

Pengarah Jabatan Penerangan Negeri, Mazli Hamdan memaklumkan Program JIWA Komuniti MADANI Khas Merdeka satu usaha berterusan pihak JaPen bersama-sama kepimpinan setempat menyemai semangat cintakan negara khususnya dalam kalangan anak muda.

"Pelaksanaan program patriotik juga bagi menyampaikan maklumat yang sahih dan tepat kepada masyarakat mengenai sejarah perjuangan dalam mencapai kemerdekaan untuk dijadikan renungan dan iktibar kepada generasi hari ini.

"Masyarakat juga diberi penekanan untuk sentiasa menghayati prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara kerana ia menjadi asas pembentukan identiti diri serta penyatuan sebagai rakyat yang berjiwa merdeka.

"Dalam mempertahankan kemerdekaan negara yang kita kecapi selama 67 tahun ini, semua lapisan masyarakat perlu menggalas tanggungjawab bagi memastikan kemerdekaan negara dapat dipertahan untuk generasi akan datang," katanya kepada pemberita pada Program JIWA Komuniti MADANI Khas Merdeka bagi kawasan Guar Sanji di sini.

Pelaksanaan program itu sehingga kini melibatkan pelbagai pengisian termasuklah konvoi semarak merdeka, pelbagai pertandingan bertemakan patriotik, ziarah kasih, kayuhan merdeka, kibaran Jalur Gemilang, persembahan kesenian tradisi masyarakat dan pelbagai lagi pengisian bertemakan patriotik.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM