LABUAN, 8 September – Festival Tanglung dan Kuih Bulan wajar dijadikan produk pelancongan utama di Labuan, kerana ia mampu menarik pelancong dari dalam dan luar pulau, kata Ketua Warisan Labuan Datuk Rozman Isli.
Ujar Rozman program seperti itu perlu diketengahkan kerana ia bukan sahaja menyemarakkan sambutan perayaan, tetapi turut berpotensi meningkatkan ekonomi tempatan melalui sektor pelancongan.
Beliau menyifatkan penganjuran festival seumpama itu bukti kekuatan Malaysia sebagai negara majmuk.
"Malaysia adalah negara berbilang kaum dengan pelbagai tradisi dan perayaan. Apabila semua kaum bersama-sama merayakannya sejak kecil lagi, ia pastinya membawa kebaikan kepada pembangunan masyarakat kita.
"Kebudayaan tradisi kaum Tionghua ini mempunyai keunikan tersendiri, dari segi reka bentuk dan inovasi, dan ia boleh dikongsi dengan semua lapisan masyarakat," katanya selepas perarakan festival yang disertai kira-kira seratus lebih penduduk di Jalan Tenaga di sini malam tadi.
Festival Tanglung dan Kuih Bulan adalah perayaan tradisional masyarakat Cina yang disambut pada musim luruh, biasanya pada hari ke-15 bulan kelapan dalam kalendar lunar Cina.
Ia uga dikenali sebagai Festival Pertengahan Musim Luruh.
Selain perarakan dan pertandingan tanglung, festival turut dimeriahkan dengan persembahan tarian singa dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.