BATU PAHAT, 17 Mei - Sebanyak RM13.3 bilion Wang Tak Dituntut (WTD) direkodkan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) setakat April lalu.
Dalam tempoh sama, sebanyak RM4 bilion telah berjaya dituntut sejak sistem WTD mula diperkenalkan pada 1977.
Akauntan Negara, Nor Yati Ahmad berkata, individu atau waris yang layak boleh membuat semakan dan tuntutan menerusi portal rasmi atau aplikasi eGumis.
Tuntutan secara fizikal juga boleh dibuat di cawangan JANM di setiap negeri.
“Semakan Wang Tak Dituntut boleh dibuat bagi pihak diri sendiri, waris, atau ahli keluarga seperti adik-beradik. Kita juga sediakan kemudahan semakan melalui aplikasi eGumis supaya orang ramai boleh menyemak sendiri secara terus.”
"Kemudahan itu membolehkan semakan dilakukan dengan mudah dan cepat tanpa perlu hadir ke kaunter", katanya selepas merasmikan Program Kampung Angkat Madani dan Santuni Madani di SK Minyak Beku, Batu Pahat.
Empat projek pembangunan fizikal akan dilaksanakan di Kampung Minyak Beku bawah inisiatif Kampung Angkat Madani.
Ia melibatkan peruntukan RM1 juta, antaranya untuk menaik taraf saluran air ke rumah penduduk dan membaik pulih Balai Islam kampung berkenaan.
Turut dilaksanakan, pembinaan pagar di sekeliling Tanah Perkuburan Islam dan penambahan prasarana kemudahan transit jenazah di Surau Kampung Teluk Buluh.