KUALA LUMPUR, 17 Mei- 71 buah sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor dibenar melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kebenaran itu berkuat kuasa mulai 26 hingga 28 Mei ini.
Jelas KPM, keputusan itu bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid tidak terjejas selain mengambil kira faktor penutupan jalan dan kawalan keselamatan sepanjang tempoh persidangan.
"Ibu bapa, penjaga, murid, guru dan warga sekolah terlibat dinasihatkan untuk merujuk saluran rasmi sekolah masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pelaksanaan PdPR," kata kenyataan itu.
KPM yakin bahawa pelaksanaan PdPR akan berjalan lancar, mengguna pakai pengalaman ketika berdepan pandemik dan bencana, sebelum ini.
Antara sekolah di Kuala Lumpur yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas, St John Institution, SMK Maxwell, Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Abu Bakar dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kung Min manakala di Selangor, membabitkan SMK Shah Alam, SJK (C) Union, SK Bukit Jelutong, SMK Katholik dan SK Lembah Subang.