fb fb fb fb fb

Anggota pertahanan perlu kuasai AI, pastikan aset negara sentiasa siap siaga

Ahli Jawatankuasa Lembaga Jurutera Malaysia, Laksamana Pertama (Bersara) Datuk Ir. Dr. Ahmad Murad Omar

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Kecanggihan teknologi semasa, termasuk pengadaptasian Kecerdasan Buatan (AI), memberi impak besar kepada bidang kejuruteraan pertahanan negara.

Ahli Jawatankuasa Lembaga Jurutera Malaysia, Laksamana Pertama (Bersara) Datuk Ir. Dr. Ahmad Murad Omar berkata, semua anggota pertahanan perlu didedahkan dan dilengkapkan dengan ilmu serta kemahiran dalam teknologi AI bagi memenuhi keperluan operasi masa kini.

Beliau berkata, meskipun beberapa universiti tempatan sudah mula menawarkan program berkaitan AI, tahap penguasaan negara dalam bidang tersebut masih belum cukup memberangsangkan.

Katanya, bukan sahaja sektor kerajaan, malah syarikat swasta serta agensi berkaitan pertahanan juga perlu seiring dalam membangunkan keupayaan AI untuk kekal relevan.

Tambah beliau, AI kini menjadi keutamaan dalam banyak sistem ketenteraan, termasuk pengurusan maklumat dan sistem persenjataan.

Mengulas mengenai cabaran dalam bidang itu, beliau menekankan aspek kesiapsiagaan aset dan peralatan pertahanan negara yang perlu berada pada tahap paling tinggi pada setiap masa.

Menurutnya, aset seperti pesawat, kapal perang dan kereta perisai merupakan peralatan bernilai tinggi yang memerlukan penyelenggaraan optimum supaya boleh beroperasi secara efisien jika berlaku sebarang situasi genting.

Beliau turut memberi contoh kos sebuah peluru berpandu mencecah RM10 juta, sekali gus menuntut ketepatan sistem persenjataan supaya tidak berlaku pembaziran atau kegagalan mencapai sasaran.

“Kalau sistem tak tepat, peluru berpandu tersasar, kita bukan saja rugi dari segi kos, tetapi juga gagal menumpaskan musuh. Ini menunjukkan betapa pentingnya kesiapsiagaan sistem kita,” katanya ketika ditemu bual secara eksklusif oleh RTM selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia, di Angkasapuri, hari ini.

 

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN