fb fb fb fb fb

Pelajar kolej maut dalam nahas motosikal, lori di Sik

FOTO POLIS SIK

SIK, 7 November - Seorang pelajar kolej meninggal dunia dalam nahas melibatkan motosikal dan lori di Kampung Kuala, Sik, Kedah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, ketika kejadian, mangsa, Shamsul Ameen Shamsul Izrin, 18, baru pulang dari kelas memandu bagi mendapatkan lesen motosikal dan kereta.

Jelasnya, lori dipandu lelaki berusia 47 tahun itu dari arah Kampung Charuk Kudong menghala ke arah Kampung Tanjung manakala motosikal terbabit dari arah Kampung Tanjung menghala pulang ke rumahnya di Kampung Batu Seketol iaitu dari arah bertentangan.

"Setibanya mangsa di tempat kejadian, motosikal terbabit dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan utama lori berkenaan.

"Pemandu lori terbabit tidak sempat membrek dan mengelak kerana jarak yang dekat menyebabkan ia berlanggar dengan motosikal itu di bahagian hadapan sebelah kanan.

"Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal itu terpelanting dan jatuh di dalam longkang di sebelah kiri jalan.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sik untuk bedah siasat," menurut kenyataan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM