fb fb fb fb fb

Wan Rosdy angkat sumpah sebagai MB Pahang

PEKAN, 28 November- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Pahang buat penggal kedua sehingga tempoh yang diperkenankan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai menyempurnakan istiadat itu di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abu Bakar di sini, pukul 11.30 pagi.

Turut berangkat Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Wan Rosdy, 64, kemudian menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Beliau dipilih untuk menerajui pentadbiran negeri Pahang kali pertama pada 15 Mei 2018 bagi menggantikan Menteri Besar Pahang Tan Sri Adnan Yaakob.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Wan Rosdy yang juga Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai buat penggal kelima dengan majoriti 6,983 undi.

(Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail)

Pelantikan Wan Rosdy mendapat perkenan daripada Tengku Hassanal, yang turut berkenan dengan pembentukan kerajaan negeri daripada BN dan Pakatan Harapan (PH), selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah 22 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri selepas PRU15.

Media Baharu