fb fb fb fb fb

Perdana Menteri sambut keberangkatan tiba Sultan Brunei

SUBANG, 28 November- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut keberangkatan tiba Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan anakanda, Pengiran Muda 'Abdul Mateen. 

Baginda tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di sini, kira-kira pukul 11.40 pagi.

Turut menyambut keberangkatan baginda Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Sultan Brunei kemudiannya berkenan memandu sendiri kenderaan jenis BMW bersama Datuk Seri Anwar ke Seri Perdana diiringi pasukan keselamatan. 

Perdana Menteri juga akan meraikan baginda serta anakanda dan delegasi Brunei dalam satu majlis santapan tengah hari.

(Perdana Menteri menyambut keberangkatan tiba Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan anakanda, Pengiran Muda 'Abdul Mateen)

Ini merupakan pertemuan sulung bersama Perdana Menteri selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November lalu.

Lawatan terakhir baginda ke Kuala Lumpur adalah pada 4 hingga 6 Mac 2019 untuk menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-22 antara Malaysia dan Brunei.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan melalui lawatan ini, Malaysia dan Brunei Darussalam akan menilai kemajuan kerjasama sedia ada di samping meneroka potensi baharu bagi meningkatkan hubungan serta kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Berita berkaitan
Sultan Brunei adakan lawatan khas ke Malaysia hari ini

Media Baharu