KUANTAN, 27 November – Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan pembentukan Kerajaan Negeri Pahang daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata baginda juga berkenan untuk melantik Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang merupakan Pengerusi BN negeri sebagai Menteri Besar.
Lantikan itu dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Raja Pemerintah yang dinyatakan dalam Bahagian II, Perkara 3 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.

“Majlis pengurniaan surat cara lantikan dan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar akan diadakan pada 11 pagi Isnin, 28 November di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di Pekan,” katanya menerusi kenyataan.
Ahmad Khirrizal juga menyatakan Tengku Hassanal telah berkenan menerima menghadap dan mendengar cadangan, usul serta hasrat kepimpinan parti-parti politik yang terlibat, susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebelum membuat keputusan tersebut.