KUALA LUMPUR, 5 Oktober - Kepulangan 23 wira dan wirawati negara yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) wajar diraikan sebagai tanda penghargaan terhadap keberanian dan pengorbanan mereka dalam melaksanakan misi kemanusiaan ke Gaza.
Mereka bukan sahaja menempuh pelayaran panjang untuk menyampaikan bantuan, malah berdepan detik mencemaskan apabila ditahan dan dipenjarakan oleh rejim Zionis.
Pada masa sama, kerajaan Malaysia turut dipuji atas kecekapan dan ketegasan dalam menggerakkan usaha diplomatik bagi menuntut pembebasan segera sukarelawan negara. Kesemua mereka disahkan selamat dan telah tiba di Istanbul, Turkiye, malam tadi sebelum dijangka pulang ke tanah air dalam masa terdekat.
Beberapa orang awam yang ditemui menyuarakan rasa syukur dan bangga atas keberanian pasukan GSF yang dianggap sebagai lambang semangat solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Pensyarah, Datuk Pekan Ramli, berkata rakyat Malaysia turut berasa bimbang dengan keselamatan sukarelawan ketika mereka ditahan oleh tentera Israel, namun bersyukur atas tindakan pantas kerajaan dalam memastikan keselamatan semua pihak terlibat.
Datuk Pekan Ramli
“Kita pun risau juga kalau mereka jadi mangsa kekejaman Israel, tetapi dengan usaha yang dibuat oleh kerajaan dan Perdana Menteri, alhamdulillah mereka selamat walaupun ditahan askar Israel,” katanya.
“Kita hargai pengorbanan dan keberanian mereka mewakili seluruh rakyat Malaysia dan apabila mereka pulang nanti, wajar kita sambut dan raikan jasa mereka,” tambahnya.
Nor Fadzeela Mohamad
Sementara itu, orang awam, Nor Fadzeela Mohamad, berkata beliau bersyukur apabila kesemua sukarelawan kini berada dalam keadaan selamat di Istanbul dan menyifatkan kerajaan memainkan peranan penting dalam usaha membawa mereka pulang.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya bersyukur mereka dah dilepaskan dan kini berada di Istanbul. Kita tak tahu apa yang mereka lalui di sana, tapi alhamdulillah mereka dah dibawa pulang hasil usaha kerajaan,” katanya.
Bagi Addy Junaidi seorang pekerja swasta, walaupun misi bantuan ke Gaza tidak kesampaian sepenuhnya, usaha itu membuka mata masyarakat dunia terhadap situasi sebenar di Palestin.
Addy Junaidi
“Bersyukur sangat, walaupun misi tak sampai ke Gaza, tapi mereka berjaya buka kesedaran ramai pihak tentang apa yang berlaku di Palestin. Terima kasih kepada Perdana Menteri atas usaha pantas membawa pulang wira-wira negara kita,” ujarnya.
Seorang lagi orang awam, Norfadilah Sulaiman, pula menyifatkan kejayaan membawa pulang sukarelawan itu sebagai hasil keberanian dan kecekalan pasukan GSF yang sanggup mempertaruhkan keselamatan demi kemanusiaan.
“Rasa lega, alhamdulillah semuanya dengan bantuan Perdana Mentero kita. Syukur semuanya selamat,” katanya.
“Alhamdulillah, satu keberanian luar biasa untuk buat sesuatu yang kadang-kadang kita sendiri tak mampu. Mereka mampu lakukannya,” tambah beliau.
Norfadilah Sulaiman
Misi Global Sumud Flotilla disertai aktivis kemanusiaan dari pelbagai negara termasuk Malaysia, dengan matlamat menghantar bantuan terus ke Gaza sebagai simbol solidariti terhadap rakyat Palestin yang berdepan kekejaman rejim Zionis.