fb fb fb fb fb

Usaha PM bawa pulang semua aktivis Malaysia, disifatkan kejayaan besar

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar

KUALA LUMPUR, 5 Oktober - Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa pulang semua aktivis Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) disifatkan kejayaan besar kerajaan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, hasil rundingan yang diperolehi dalam masa singkat membuktikan kekuatan diplomasi negara selain solidariti berterusan terhadap isu kemanusiaan global.

"Terima kasih dan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesungguhan beliau atas keprihatinan beliau dalam usaha untuk membawa berbincang membawa 23 aktivis daripada Global Sumud Flotilla (GSF) ke Istanbul.

"Mungkin solidariti kebersamaan, hubungan diplomatik yang terjalin selama ini dengan Turkiye, saya fikir lebih 100 peserta daripada 400 lebih yang menyertai Global Sumud Flotilla yang telah dibebaskan dibawa ke Turkiye.

"Jadi kejayaan ini merupakan satu kejutan juga kerana usaha tersebut dijayakan dalam masa singkat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media di sini.

Ketika ditanya mengenai perkembangan Gelombang Ketiga misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang kini dalam pelayaran menuju Gaza, katanya pasukan perundangan akan digerakkan sekiranya berlaku penahanan atau rampasan oleh pihak tertentu.

"Kita mengharapkan mereka sampai ke bumi Gaza supaya bantuan yang kita harapkan dapat dilaksanakan. Kita bawa lebih daripada lebih 20 pakar perubatan, lebih 20 pengamal media dan wartaawan supaya boleh melaporkan apa yang berlaku dalam misi itu.

"Kita sedia maklum sektor perubatan terjejas teruk — hospital dibom, doktor dibunuh, malah wartawan yang sedang membuat liputan turut menjadi mangsa. Justeru, kita berharap dua bidang ini dapat diperluas lagi agar lebih banyak bantuan dapat disalurkan kepada masyarakat di Gaza.

"Kita juga mengharapkan kerajaan Malaysia bawah pimpinan Perdana Menteri supaya dapat mengusahakan sekiranya aktivis ini diculik. Kita mengharapkan agar mereka dalam misi ini sampai ke Gaza dan insya-Allah bantuan dapat disegerakan," katanya lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI