KUALA LUMPUR, 5 Oktober - Tindakan tegas dan strategik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha membebaskan 23 sukarelawan Malaysia daripada tahanan Israel mencerminkan kepimpinan yang berwawasan, berani serta berpaksikan prinsip diplomasi MADANI.
Penganalisis Sosiopolitik, Universiti Malaya, Datuk Prof. Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata kejayaan itu juga memperlihatkan kebijaksanaan Perdana Menteri menggunakan pendekatan diplomasi berasaskan keadilan, kerjasama antarabangsa serta nilai kemanusiaan sejagat.
Selain itu, sebagai negara yang tidak mempunyai hubungan formal dengan Israel, usaha menggerakkan rundingan melalui negara ketiga bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin merupakan satu langkah yang berani.
‘’Ini merupakan satu risiko keselamatan dan prosedur diplomasi juga bagi membawa pulang orang daripada zon konflik melibatkan risiko yang besar, tekanan antarabangsa, prosedur keselamatan, intervensi campur tangan pelbagai negara.
"Jadi ini memerlukan koordinasi, kelajuan dan konteks proses rundingan melibatkan banyak pihak dan masa menjadi faktor pentingnya supaya sukarelawan tidak terdedah kepada bahaya.
"Saya kira kerajaan komitmen semakin teguh terutama dalam konteks kemahiran diplomasi dan jaringan antarabangsa dengan pelbagai rundingan pendekatan 'soft power' yang menekankan rundingan hubungan baik, penggunaan saluran kemanusiaan yang bukannya agresif ataupun bertindak somberono, tidak.
"Inilah contoh keseimbangan antara prinsip dan pragmatis yang tidak menutup kepada pintu rundingan dan kompromi yang munasabah'', katanya menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.
Tambahnya, keupayaan Perdana Menteri menangani isu besar ini secara berkesan dan aman juga memperlihatkan kepimpinan beliau ketika berdepan situasi genting, sekali gus memperkukuhkan reputasi negara di pentas diplomasi antarabangsa.