fb fb fb fb fb

Wabak kusta: Dua kampung terjejas dikenakan sekatan - Exco

Jalaluddin Alias/RTM

PORT DICKSON, 20 Februari- Kerajaan Negeri Sembilan melaksanakan sekatan keluar masuk di penempatan orang asli di Kampung Chergun dan Kampung Guntur, Kuala Pilah susulan kematian seorang remaja perempuan berusia 18 tahun akibat wabak kusta, selain lapan lagi penduduk turut dijangkiti.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata langkah kuarantin itu bertujuan mencegah penularan wabak ke kawasan lain.

"Kita tidak benarkan sebarang aktiviti keluar masuk dan menasihatkan orang ramai supaya tidak berkunjung ke kedua-dua kampung buat sementara waktu.

"Walaupun ini bukan kes yang boleh mencetuskan panik, langkah awal perlu diambil dengan kerjasama rakyat dan kerajaan untuk membendung penularan penyakit ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Seminar Teknikal Sayur-Sayuran dan Jom Bertani di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan kematian remaja perempuan dari Kampung Chergun akibat kusta, manakala lapan lagi penduduk sedang menerima rawatan.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini memaklumkan kes berkenaan mula dikesan pada 2 Januari lalu membabitkan sembilan penduduk orang asli dari kedua-dua kampung tersebut.

SITI AISHAH MD ISA