MANAMA, 20 Februari- Pembangunan Ekonomi Bahrain (Bahrain EDB) bersedia menjadi pemudah cara bagi syarikat Malaysia yang ingin melabur di Bahrain serta berfungsi sebagai penghubung dengan negara-negara Asia Barat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dipersetujui dalam perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Bahrain EDB Noor Binti Ali AlKhulaif di Manama, Bahrain hari ini.
Menurut beliau, pertemuan sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur itu turut membincangkan kerjasama baharu yang boleh diusahakan antara kedua-dua negara.
Antara yang dibincangkan termasuk pengalaman Bahrain dalam mengendalikan mata wang kripto, yang boleh menjadi rujukan kepada Malaysia dalam bidang ini.
Dalam perkembangan lain, Anwar menegaskan undangan menyampaikan ucapan pada sesi utama Persidangan Dialog Intra-Islam (IIDC) pada Rabu merupakan pengiktirafan terhadap peranan signifikan Malaysia di pentas dunia Islam.
Beliau berkata peluang berkongsi pandangan di hadapan lebih 400 ulama dan cendekiawan Islam dunia dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyeru kepada semangat 'convivencia' atau kewujudan bersama meskipun terdapat perbezaan pendapat.
“Apabila ulama berani dan tegas menegur umat, menegur ulama yang melampau serta kerajaan yang tidak mematuhi semangat ini, ia mencerminkan keupayaan golongan ulama dan elit yang boleh kita banggakan," katanya pada sidang media selepas mengakhiri lawatan rasmi ke Bahrain atas jemputan Putera Mahkota Sheikh Salman Hamad Al Khalifa.