PUTRAJAYA, 20 Februari- Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) tidak membincangkan sebarang perkara berkaitan dasar agama Islam termasuk hal berkaitan ibadah atau akidah, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Mohd Na’im berkata HARMONI ditubuhkan bagi mencari jalan serta memberikan pandangan kepada Kabinet mengenai kaedah terbaik memperkukuhkan perpaduan masyarakat berbilang agama di Malaysia.
"Kita tidak membincangkan hal berkaitan ibadah atau akidah. Sebaliknya, kita mencari nilai-nilai baik yang bersifat universal dalam agama-agama yang boleh dibincangkan dalam satu platform terbaik seperti Jawatankuasa HARMONI.
"Tidak timbul langsung isu menyentuh agama Islam kerana Islam jelas berada bawah bidang kuasa negeri seperti termaktub dalam Senarai Kedua, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr. Ekrima Said Sabri di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.
Mohd Na’im turut menjelaskan Jawatankuasa HARMONI dianggotai para ulama dan ketua-ketua agama yang memainkan peranan dalam memberikan penjelasan mengenai isu berbangkit serta mengajak masyarakat agar tidak menghina agama lain.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan umat Islam supaya tidak terlalu beremosi dalam melihat isu-isu perundangan agama yang kompleks dan sentiasa bersikap rasional dalam menyuarakan pandangan termasuk di media sosial.
BERITA BERKAITAN