fb fb fb fb fb

Video tular tunggang kuda bawa bendera tiada kaitan ekstremis - Polis

(Tangkap layar TikTok @aqimportwaris)

PULAU PINANG, 23 November- Polis mengesahkan video tular sekumpulan lelaki menunggang kuda sambil membawa bendera parti politik dan kalimah syahadah tiada kaitan dengan mana-mana gerakan ekstremis atau pengganas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku di Kubang Semang, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang dan video itu dipercayai dirakam pada 19 November lalu.

“Siasatan lanjut juga mendapati ia tiada kaitan dengan mana-mana gerakan ekstremis dan pengganas,” katanya dalam kenyataan.

Shuhaily turut memberi amaran kepada orang ramai agar segera menghentikan spekulasi yang tidak memberikan manfaat dan boleh menimbulkan kegusaran masyarakat.

Katanya, kesalahan itu boleh disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Kesalahan tersebut juga boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Terdahulu, tular video 20 saat di media sosial menunjukkan sekumpulan penunggang kuda memegang bendera parti politik dan kalimah syahadah yang menimbulkan kebimbangan masyarakat.


(Tangkap layar TikTok @aqimportwaris)

Media Baharu