KUALA LUMPUR, 30 Januari- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan video sidang media oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung pemberian dos penggalak Covid-19 hanya untuk golongan tertentu, merupakan rakaman lama.
Dalam satu kenyataan, KKM memaklumkan video berkenaan merupakan petikan dari sidang media Khairy sewaktu meninjau perkhidmatan saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 20 September tahun lalu.
Video sidang media itu merupakan rakaman semasa sidang media berkenaan ketika negara belum lagi melaksanakan pemberian suntikan booster dan masih dalam fasa pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, P-I-C-K bagi dos pertama dan dos kedua.
“Pada waktu itu, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi dos pertama dan dos kedua masih giat dilaksanakan. Kadar vaksinasi lengkap bagi penduduk dewasa ketika itu adalah 79.6%, masih belum mencapai sasaran 90% populasi dewasa.
"Aktiviti rentas negeri masih belum dibenarkan manakala aktiviti keluar masuk negara juga masih dikawal ketat,” jelas kenyataan itu.
Video berkenaan kembali tular sejak Sabtu menimbulkan salah faham orang ramai.
Jelas KKM, pemberian dos penggalak secara menyeluruh belum lagi bermula pada September 2021 dan ia dilaksanakan secara berperingkat dengan keutamaan ketika itu kepada golongan rentan.
Hanya setelah majoriti golongan tersebut menerima dos penggalak, vaksinasi berkenaan dibuka kepada populasi awam yang layak.