MELAKA, 30 Januari- Jabatan Penyiaran Malaysia sedang dalam perancangan untuk pembangunan semula pejabat baharu jabatan itu diperingkat negeri.
Keutamaan kepada bangunan dan infrastruktur penyiaran RTM negeri yang telah lama.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud berkata, perancangan itu sudah dibawa kepada pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).
Ketika ini lawatan tapak di RTM negeri yang memerlukan bangunan serta infrastruktur penyiaran baharu sedang dilaksana.
“Perkara ini dalam perancangan oleh kementerian sendiri dan juga pimpinan daripada YB menteri yang meminta saya untuk turun ke lapangan dan melihat apa yang boleh kita lakukan iaitu untuk menyediakan kemudahan infra baharu kepada pejabat-pejabat RTM negeri-negeri bukan sahaja di Melaka tapi di negeri-negeri lain juga,” kata Che Roslan.
Jelasnya antara RTM negeri yang memerlukan bangunan dan infrastruktur penyiaran baharu ialah RTM Melaka, RTM Pulau Pinang dan RTM Kelantan.
Datuk Che Roslan berkata demikian ketika bersiaran di Melakafm.
Terdahulu beliau mengadakan lawatan kerja dan menyampaikan amanat kepada kakitangan RTM Melaka.
Beliau turut berkesempatan melawat tapak lama RTM Melaka di Batu Berendam,berkeluasan 6.47 hektar yang dicadang untuk dibangunkan semula sebagai lokasi baharu pejabat RTM Melaka yang ketika ini beroperasi di Jalan Taming Sari.