fb fb fb fb fb

UTM juara pertandingan Robocon Malaysia 2022, wakil negara ke ABU ROBOCON

GEORGE TOWN, 5 Jun - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dinobat sebagai pemenang pertandingan Robocon Malaysia 2022.

Ia sekaligus menjadikan mereka sebagai wakil negara untuk pertandingan The ABU Asia-Pacific Robot Contest (ABU ROBOCON) di New Delhi, India.

Pengurus pasukan UTM, Mohd Ridzuan Ahmad berkata pihaknya akan memperbaiki kelemahan teknologi robotik mereka untuk pertandingan akan datang.

Ia memandangkan beliau yakin saingan yang lebih hebat bakal diterima pasukannya menerusi pertandingan antarabangsa tersebut.

"Biasanya ada dua (aspek) yang kita perlu tingkatkan, yang pertama dari segi kestabilan robot, yang kedua dari segi kecepatan, kelajuan robot, ini kerana pasukan antarabangsa sangat laju, jadi kita akan baiki kemampuan robot," kata beliau.

Bagi ketua pasukan, Lee Jia Quan, yang merupakan pelajar jurusan Kejuruteraan Mekatronik berusia 21 tahun itu berasa puas setelah bergelar juara memandangkan terpaksa berkorban masa dan tenaga demi pertandingan tersebut.


(Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul pemenang pertandingan Robocon Malaysia 2022)

"Cabaran terbesar yang kami hadapi ialah dari segi masa, sebab nak hasilkan robot terbaik, kita perlukan masa tapi masa tak cukup, semua ahli kami bertungkus lumus dalam menghasilkan robot kami, kebanyakannya memang tak dapat hadir kelas, tidur lewat, tak cukup tidur, tapi sangat puas hati sebab kami dapat (menjadi) juara dan naib juara dalam pertandingan ini," menurut beliau.

Sementara itu Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan selaku penganjur berkata pihaknya turut mengharapkan lebih banyak penyertaan dari pelbagai institusi pengajian di masa akan datang.

"Dan kita nak sasarkan supaya lepas ni ada 20, 30 institusi yang unik yang boleh hantar banyak pasukan, untuk itu kita kena panjangkan masa dari pagi sampai malam," kata beliau.

Naib johan bagi pertandingan tersebut turut disandang UTM, diikuti The Apex Team, USM di tempat ketiga dan Multimedia University (MMU) di tempat keempat.

Pertandingan tersebut berlangsung selama empat hari bermula 2 Jun lalu.

Media Baharu