PUTRAJAYA, 11 November – Penjawat awam perlu mengutamakan nilai amanah sepanjang perkhidmatan, yang merupakan antara prinsip utama di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata nilai itu menjadi tunjang kepada pembentukan budaya kerja berintegriti, beretika dan bertanggungjawab dalam kalangan penjawat awam.
“Apabila setiap penjawat awam berpegang pada prinsip amanah, maka seluruh organisasi dan sistem pentadbiran akan berfungsi dengan lebih telus, adil dan saksama,” kata beliau ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Persidangan Tahunan Agama PUSPANITA Kebangsaan 2025 di Dewan De Seri Endon, PUSPANITAPURI di sini.
Persidangan bertemakan “Keluarga Sakinah, Generasi Amanah” itu memfokuskan kepada isu pengurusan keluarga berlandaskan nilai keagamaan, di samping memberi kefahaman dan perkongsian ilmu, sekali gus memperkasakan peranan wanita dalam membentuk keluarga berakhlak dan berintegriti.
"Tema itu bukan sahaja bertepatan dengan tuntutan agama, tetapi turut seiring aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan nilai, adab dan kesejahteraan sebagai asas pembinaan negara," ujar beliau.
Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan bahawa keluarga merupakan asas kepada kesejahteraan masyarakat dan pembentukan generasi berakhlak perlu bermula dari rumah.
Seramai 600 ahli PUSPANITA terdiri daripada penjawat awam wanita dari pelbagai kementerian, jabatan dan negeri menghadiri persidangan berkenaan.