fb fb fb fb fb

Raja Perlis belum perkenan MB menghadap usul tarikh bubar DUN

KANGAR, 13 Oktober- Permohonan untuk menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis telah dikemukakan.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man memaklumkan, sehingga kini baginda belum memberi perkenan untuk menghadap dan masih menunggu titah baginda untuk berbuat demikian.

Jelasnya, apabila diperkenankan nanti, beliau akan membentangkan tarikh yang bersesuaian untuk pembubaran DUN Perlis.

"Itu semua adalah hak Tuanku, kita akan dengar apa titah daripada Baginda berhubung pembubaran DUN.

Bila tarikhnya, adalah tertakluk di bawah ruang lingkup kuasa Tuanku Syed Sirajuddin," katanya selepas Pembentangan Rang Undang-undang Antilompat Parti pada Mesyuarat Ketiga, Penggal kelima, Persidangan kelima DUN Ke-14 di Kompleks Dewan Undangan Negeri.

(Datuk Seri Azlan Man, Menteri Besar Perlis)

Sementara itu, Datuk Seri Azlan yang juga Pengerusi Barisan Nasional negeri turut memaklumkan, jentera BN kini telah bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Media Baharu