fb fb fb fb fb

PRU ke-15: Telco pastikan capaian internet pusat mengundi, pusat penjumlahan undi adalah baik

(Tan Sri Annuar (tiga, kanan) beramah mesra bersama para pelajar pada majlis Pengagihan
Peranti Siswa Keluarga Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Melor /BERNAMA)

KOTA BHARU, 13 Oktober- Penyedia perkhidmatan telekomunikasi diingatkan agar memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan liputan capaian internet di pusat mengundi dan pusat penjumlahan undi semasa Pilihan Raya Umum adalah baik.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata langkah itu perlu supaya SPR dapat melaksanakan tugas dengan baik, selain memastikan pelaporan berita dari lokasi berjalan lancar.

"Kita telah minta supaya SKMM membuat semakan tahap dan kapasiti internet
terutama sekali pusat penjumlahan undi, jadi talian internet tu satu perkara yang sangat penting," kata Annuar dalam sidang media selepas sesi pengagihan PerantiSiswa kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor, di sini.

(Tan Sri Annuar ditemui pada sidang media selepas menyempurnakan sesi pengagihan
peranti siswa kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor)

Mengulas lanjut, Tan Sri Annuar berkata berdasarkan pengalaman lepas dalam tempoh pilihan raya penggunaan Internet di satu-satu lokasi, pastinya akan meningkat terutama pada hari mengundi.

Bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap capaian internet, perkara itu sedang diteliti supaya penambahbaikan dapat di lakukan.

Namun begitu, menurutnya, kualiti di kawasan-kawasan mengundi ketika ini adalah lebih baik sejajar pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang telah meningkatkan purata kelajuan jalur lebar mudah alih lebih 40 Megabit sesaat (Mbps) melebihi sasaran di tetapkan sebelum ini iaitu 35 Mbps.

Sementara itu, Annuar juga memaklumkan telah meminta saluran–saluran televisyen terutama milik kerajaan supaya memberi kerjasama kepada SPR untuk membantu melicinkan proses
PRU-15 termasuk meningkatkan kesedaran rakyat untuk keluar mengundi.

"RTM akan mengadakan beberapa siaran berterusan untuk meyampaikan maklumat yang dikehendaki disampaikan oleh SPR dan juga pihak keselamatan khususnya PDRM. Jadi usaha ini akan dibuat secara berterusan kerana proses amalan demokrasi akan menjadi lebih bermakna kalau semua rakyat menggunakan hak masing-masing," katanya.

Beliau mengharapkan menerusi PRU ke-15 nanti sebuah kerajaan yang stabil mampu dibentuk, supaya tumpuan lebih serius dapat diberi dalam menentukan agenda rakyat untuk berdepan pelbagai cabaran di peringkat global.

Media Baharu