fb fb fb fb fb

Jalan-Jalan Kemerdekaan 2025, menyemarak patriotisme warga UiTM

Naib Canselor UiTM (tengah) bersama warga UiTM dalam program 'Jalan-Jalan Kemerdekaan' sempena pelancaran Bulan Kemerdekaan Peringkat UiTM/Foto Penganjur

SHAH ALAM, 7 Ogos -Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ke-68 Malaysia, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menganjurkan program Jalan-Jalan Kemerdekaan 2025, bertujuan menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan warga universiti.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin, ketika merasmikan program berkenaan menegaskan bahawa aktiviti itu bukan sekadar riadah tetapi turut membawa mesej simbolik kebersamaan, perpaduan dan kecintaan terhadap tanah air.

"Kita ‘jalan-jalan’ pada hari ini bukan hanya untuk menyihatkan tubuh badan, tetapi sebagai simbolik menyemarakkan semangat juang yang diwariskan oleh barisan pejuang kemerdekaan negara," jelas beliau dalam ucapannya.

Program dianjurkan menerusi kerjasama pelbagai pihak di UiTM, termasuk Akademik Kenegaraan Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Jabatan TNC ICAN, Jabatan Pembangunan, Jabatan Digital, Stratcomm, Pusat Sukan, Pusat Kesihatan, Polis Bantuan, ZAWAF, Unit Kenderaan, serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam.

Mengangkat tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin menegaskan kepentingan nilai-nilai kemanusiaan, integriti dan jati diri dalam membina masyarakat MADANI yang harmoni.

"Tema ini menuntut kita bertanggungjawab dengan mengangkat nilai hormat-menghormati dan integriti dalam setiap tindakan sebagai pendidik, pentadbir mahupun pelajar," tambah beliau.

Beliau turut menyeru semua warga UiTM supaya memelihara maruah, menjaga jati diri dan sentiasa menanamkan semangat cintakan tanah air sepanjang hayat, bukan hanya pada bulan Ogos.
"Negara yang kuat lahir daripada rakyat yang bersatu, dan rakyat yang bersatu lahir daripada hati yang cintakan tanah air," ujar beliau lagi.

Program ini turut mendapat sambutan meriah daripada kakitangan dan pelajar yang hadir, sekali gus menunjukkan semangat patriotisme tinggi dalam kalangan warga universiti.

Majlis diakhiri dengan seruan semangat Merdeka serta galakan untuk mengibarkan Jalur Gemilang di pejabat dan kediaman masing-masing sepanjang Bulan Kemerdekaan ini, sebagai tanda penghargaan dan cinta kepada negara.

MAT YUNUS BIN SABRI