KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan sumbangan sebuah komputer riba bernilai RM3,000 dan wang tunai RM500 kepada Muhammad Haziq Hakimi Afzal, pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan melanjutkan pengajian ke Jordan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, kisah Haziq yang tular selepas memperoleh keputusan 9A dan menerima tawaran pengajian di luar negara meskipun hidup sebatang kara wajar menjadi inspirasi kepada generasi muda.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak anak-anak belia di luar sana menjadikan kisah Haziq sebagai contoh, supaya bersemangat menjadi pelajar yang cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyerahkan sumbangan berkenaan di ibu negara, hari ini, sambil menambah bahawa inisiatif bantuan tambahan akan dipertimbangkan bagi membantu perbelanjaan pembelajaran Haziq pada masa hadapan.
Sementara itu, Haziq yang bakal melanjutkan pengajian selama empat tahun di Jordan menzahirkan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan yang diterima.
“Insya-Allah saya akan berusaha sebaik mungkin dalam pelajaran. Saya sangat terkejut dan gembira menerima bantuan ini, alhamdulillah rezeki daripada Allah,” katanya.
Terdahulu, Datuk Dr. Mohd Na’im turut meninjau bilik media dan reruai sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-65.