fb fb fb fb fb

RGT ketiga bakal cipta 3,000 peluang pekerjaan bidang kimpalan

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad

IPOH, 7 Ogos -Pembangunan Kompleks Terminal Penggasan Semula (RGT) Ketiga negara di Lumut akan membuka sebanyak 3,000 peluang pekerjaan khusus dalam bidang kimpalan.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri bersedia untuk membantu menyediakan bakat muda dan pusat latihan bagi merealisasikan projek tersebut.

Jelasnya, RGT ketiga akan menjadi pemangkin kepada pembangunan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dan Lumut Port Industrial Park (LPIP).

"Dan kita sudah mula mencari jalan untuk mencari bakat-bakat baru kimpalan. Sekurang-kurangnya 3,000 orang. Itu kepada saya adalah pencapaian agak besar kerana kita dalam pelan Perak Sejahtera 2030, fokus kita ialah menyediakan peluang pekerjaan sebanyak mungkin. Jadi urusan itu, pengumuman itu nanti diuruskan oleh syarikat berkaitan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Nadwah Mendepani Cabaran Kecerdasan Buatan (AI) dalam Kerangka Syariah Peringkat Kebangsaan, di sini.

RGT ketiga yang dibentang dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) minggu lalu akan dibangunkan di tapak LuMIC Dua oleh Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) awal tahun hadapan.

Ia akan menyamai kapasiti pemprosesan gas asli cecair (LNG) di RGT Sungai Udang, Melaka dan RGT Pengerang, Johor.

TETITIA YUSOFF