MERU, 7 Ogos — Majlis Amanah Rakyat (MARA) menawarkan kepada Siti Nur Aliah, 21, anak kepada Ah Yauddin, peniaga air balang pasar malam yang tular baru-baru ini untuk menyambung pengajian secara percuma di GIATMARA Klang.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tawaran itu turut merangkumi elaun bulanan sebanyak RM200 dalam bidang Konfeksionari dan Bakeri.
Asyraf berkata, MARA akan membimbing Nur Aliah menjadi usahawan melalui kursus bersesuaian dan geran peralatan bakeri.
"Selain tajaan pengajian, MARA juga akan membantu menyediakan Geran Perniagaan bernilai RM6,000 melalui Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah berupa mesin serta peralatan membuat roti dan kek, bagi membolehkan Aliah memulakan perniagaan sendiri.
“MARA berharap dengan adanya bantuan ini beban yang ditanggung Ah Yauddin dapat diringankan dan peluang untuk anaknya, Nur Alia membina masa hadapan lebih terbuka luas,” katanya selepas menziarahi keluarga berkenaan di Meru, petang semalam.
Tambah Asyraf, MARA turut merancang menyediakan kursus jangka pendek bagi melatih Aliah sebagai usahawan digital supaya mampu memanfaatkan platform seperti TikTok untuk menjana pendapatan.
Kisah keluarga itu menyentuh hati warga maya selepas tular video Ah Yauddin yang menderita penyakit buah pinggang tahap 4 itu gigih menjual air balang di pasar malam sambil menjaga isterinya yang lumpuh.
Dalam lawatan itu, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) menerusi Pengerusi MARA turut menyampaikan sumbangan wang tunai sebagai bantuan tambahan kepada keluarga.
"Sumbangan wang tunai hasil kutipan daripada semua Doktor dan Ahli Farmasi bagi meringankan beban keluarga ini," menurut MARA menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Lawatan turut disertai Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Zahari Aziz serta sekumpulan pegawai perubatan yang merupakan usahawan Program ProSPEC MARA.