KUALA LUMPUR, 7 Ogos -Malaysia menggesa agar satu reformasi dilaksanakan terhadap struktur Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya berkaitan penggunaan kuasa veto oleh anggota tetap badan tersebut.
Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia penting bagi memastikan kuasa veto tidak disalahgunakan dalam situasi yang melibatkan jenayah kemanusiaan, kekejaman mahupun kemusnahan infrastruktur awam.
"Ini yang telahpun kita minta dan negara-negara yang sepemikiran dengan kita sedang berunding bagaimana cara untuk kita mengstruktur semula majlis keselamatan. Memang kita tahu susah tetapi usaha kita lakukan supaya anggota majlis keselamatan itu ditambah di benua-benua Amerika, Afrika, Asia supaya kita ada wakil tetap mewakili benua, ini yang sedang kami dan kita akan lakukan," katanya menjawab soalan yang dikemukan oleh Wakil Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman, di Dewan Rakyat.
Datuk Seri Mohamad Hasan turut mengakui usaha itu bukan mudah, namun negara komited untuk memastikan reformasi ini menjadi kenyataan.
Katanya, Malaysia juga sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin secara berprinsip bagi mendapat negara yang kekal merdeka.
Di pelbagai pentas dunia termasuk Majlis Keselamatan PBB dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa; negara tetap konsisten menyuarakan isu tersebut dan mengutuk kekejaman Israel.
Sementara itu, Malaysia mengambil pendirian berhati-hati terhadap beberapa syarat awal atau prasyarat yang dikemukakan menerusi perundingan dalam penubuhan negara Palestin.
Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia memandangkan terdapat beberapa prasyarat dalam dokumen rundingan tersebut yang dianggap tidak selari dengan prinsip dasar luar negara.
"Sekarang sedang dibahaskan juga bahawa usaha yang dibuat supaya diadakan suatu perdamaian yang kekal dengan cara untuk negara Palestin yang merdeka ditubuhkan. Tetapi Malaysia berhati-hati dalam usaha ini kerana ada prasyarat yang kita sendiri rasa kurang selesa untuk kita sama-sama memperakukan dokumen hasil yang dikeluarkan oleh negara-negara yang telah bersetuju. Kita setuju dengan tajuknya iaitu negara Palestin merdeka dapat ditubuhkan dengan segera, tetapi kita kurang selesa dengan prasyarat yang diadakan kerana ada banyak perkara yang ia tidak selaras dengan dasar luar Malaysia," katanya.