PUTRAJAYA, 7 Ogos -Cubaan menyeludup keluar lebih 2,500 kura-kura bernilai kira-kira RM348,000 gagal selepas penahanan eorang lelaki warganegara India di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA T1), pada Selasa lepas.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dalam kenyataan memaklumkan suspek yang dijadualkan menaiki penerbangan ke Bengaluru, India, ditahan pada 10.05 malam di pintu pelepasan selepas imbasan ke atas beg yang dibawanya menunjukkan imej mencurigakan.
"Pemeriksaan lanjut menemui ribuan kura-kura spesies Red-eared Slider yang disembunyikan di dalam bagasi tersebut," menurut kenyataan itu.
Kesemua hidupan liar tersebut telah disita untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.