fb fb fb fb fb

Fahmi ucap takziah pemergian penerbit RTM Irwan Budi

Foto Facebook Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga Penerbit RTM Sarawak, Allahyarham Irwan Budi Annuar, yang meninggal dunia malam tadi akibat komplikasi buah pinggang dan paru-paru.

Beliau berkata, Allahyarham berkhidmat lebih 20 tahun dalam dunia penyiaran dan banyak menyumbang kepada RTM serta pembangunan media negara.

“Pastinya jasa serta sumbangan beliau amat dihargai. Takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Datuk Fahmi turut memaklumkan, beliau pernah menziarahi Allahyarham di Petra Jaya pada September 2023 untuk menyerahkan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA.

Allahyarham Irwan, 51, meninggal dunia di kediamannya di Taman Sourabaya Indah, Kuching sekitar pukul 8 malam tadi.

Beliau menghidap kanser paru-paru dan masalah buah pinggang sejak 2021 ketika bertugas di RTM Limbang.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang selepas solat zuhur, hari ini.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga anak lelaki.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN