fb fb fb fb fb

Usahawan, peniaga perlu manfaatkan pemansuhan AP bahan makanan - pakar

KUALA LUMPUR, 21 Mei - Para usahawan dan peniaga perlu memanfaatkan sepenuhnya keputusan kerajaan untuk memansuhkan permit import (AP) bahan makanan.

Menurut Presiden Dewan Perdagangan Dan Industri ASEAN, Datuk Sohaimi Shahadan, pemansuhan tersebut dapat memutuskan rantaian orang tengah yang sentiasa mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang.

Ia seterusnya dapat memberi peluang kepada lebih ramai pemain industri termasuk usahawan baharu untuk mengimport bekalan makanan dari luar negara tanpa monopoli mana-mana pihak.

"Jadi dengan pemansuhan ini menyebabkan kita boleh bertebaran ke seluruh dunia, merata-rata, mana-mana negara sahaja untuk bawa produk-produk baharu tetapi dalam kategori yang sama. Jadi ini kepada mereka yang cepat peniaga boleh terus pasaraya-pasaraya besar dan kita yang sebelum ini bergantung harap kepada pemilik AP, hari ini dah tak jadi isu kepada kita dan boleh menambah sikit pendapatan tambahan kepada penjualan produk import terus dari negara asal," kata beliau.

Bagaimanapun kata Sohaimi, satu garis panduan yang jelas perlu diwujudkan bagi memastikan tiada isu lain yang timbul susulan pemansuhan tersebut.

(Foto fail/fotoBERNAMA)

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpandangan, kerajaan perlu memikirkan penyelesaian jangka panjang kerana kesan pemansuhan AP tersebut hanya bersifat sementara.

"Kerana jika rantaian bekalan makanan global mengalami krisis, harga makanan akan kekal mahal, oleh itu untuk jangka masa panjang, dasar agromakanan 2.0 yang dilancarkan tahun lepas harus segera diperkasakan untuk memastikan negara kita mampu menjadi negara pengeluar makanan dan tidak terlalu bergantung kepada makanan import," menurut beliau.

Media Baharu