fb fb fb fb fb

Tuntutan waris Sultan Sulu : Malaysia akan hantar nota diplomatik kepada 168 negara

KUANTAN, 21 Mei- Nota diplomatik akan dihantar ke 168 buah negara sebagai makluman awal jika terdapat mana-mana pihak mahu membawa tuntutan mewakili pihak didakwa waris Sultan Jamalul Kiram II atau penimbang tara Dr Gondoza Stampa, berhubung 'Final Award' kepada waris Sultan Sulu.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, langkah itu diambil bagi yang membolehkan negara-negara berkenaan, memaklumkan kepada Malaysia sekiranya menerima permohonan sama.

Menurutnya, kesemua negara-negara yang menandatangani New York Convention terbabit kecuali Perancis, perlu dimaklumkan bahawa pihak berkenaan membuat tuntutan itu secara 'unilateral'.

Sebelum ini, Mahkamah Arbitrasi Paris, Perancis mengarahkan Malaysia membayar pampasan 62.59 bilion ringgit kepada pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.

"Sebelum dia pergi kita memberi makluman kepada Kementerian Luar 168 negara itu supaya mereka tahu sebagai negara sahabat yang kita ada isu di Perancis, dan sekiranya ia berlaku di negara mereka, memang itu hal ehwal undang-undang, kementerian luar negara tersebut tidak akan campur tangan, tapi sebagai sahabat kita beritahu bahawa ini mungkin akan berlaku di negara tuan jadi kalau berlaku, tolong beritahu kami," kata Saifuddin.

Tambah beliau, kerajaan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan Final Award berhubung isu tuntutan pihak mengaku sebagai waris Sultan Sulu pada 3 Mac lalu, di Mahkamah Arbitari Paris, Perancis.

Namun, kini masih menunggu keputusan yang dijangka diperoleh tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen dan Perikatan Nasional Indera Mahkota, di Kuantan.

Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan dibuat pihak mendakwa waris kepada Sultan Sulu dan menolak sepenuhnya Final Award dikeluarkan Dr Gondoza Stampa.

Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah sejak 2013 dan dikatakan melanggar Perjanjian 1878 yang ditandatangani sultan Sulu ketika itu, Sultan Jamal Al-Alam dengan Baron De Overbeck dan Alfred Dent, yang menyaksikan Sultan Sulu menyerahkan buat selama-lamanya wilayah di Borneo Utara, yang kini Sabah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, beliau telah bertemu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dan memaklumkan tindakan kerajaan Persekutuan dalam menangani isu tuntutan waris Sultan Sulu, dengan kedua-dua pihak bersetuju agar pertemuan lebih kerap dapat dilakukan.

 


(Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah)

Media Baharu