KUALA LUMPUR, 21 Mei - Kerajaan sedang mengkaji mekanisme subsidi yang lebih bersasar bagi memastikan sumber kewangan negara tidak dibebankan jumlah subsidi yang memanfaatkan golongan kaya.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi jaminan kerajaan akan terus mengawal kenaikan harga demi membantu rakyat dan menyokong momentum pemulihan ekonomi.
Menjelaskan menerusi Laporan Kewangan Rakyat ke-95, sebahagian besar subsidi petrol berjumlah RM4 bilion setakat bulan Mac 2022 sebenarnya dinikmati oleh golongan berada, yang mempunyai lebih banyak kenderaan.
(Foto fail)
Hakikatnya, bagi setiap RM1 subsidi bahan api, 53 sen disalurkan kepada golongan T20, manakala hanya 15 sen dimanfaatkan oleh B40.
Semasa Bajet 2022 dirangka, kerajaan tidak menjangka kenaikan mendadak harga komoditi dan makanan ekoran konflik Rusia-Ukraine.
Namun, untuk terus membantu rakyat, kerajaan masih mengekalkan harga RON95 pada paras RM2.05 sen seliter walaupun kos sebenarnya melebihi RM4 seliter.