fb fb fb fb fb

Dua maut dipercayai akibat makan umbut rotan

FOTO HIASAN

TATAU, 11 November - Dua lelaki dari Rumah Sebastian Emun, Tatau maut dipercayai akibat keracunan makanan selepas memakan ‘umbut rotan’ di sebuah pondok kebun di Sungai Salik, Mayeng Kakus, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Tatau, Timbalan Penguasa Polis DSP Jame Reis berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 1.47 pagi.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam, pengadu bersama enam rakan lain termasuk dua mangsa berusia 31 dan 58 tahun menikmati hidangan ‘umbut rotan’ yang dimasak salah seorang daripada mereka di pondok kebun berkenaan.

"Kesemua mereka mula mengalami sakit perut dan muntah-muntah kira-kira sejam kemudian. Dengan bantuan penduduk kampung, semua mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Tatau untuk rawatan.

"Bagaimanapun, setibanya di klinik, dua daripada mereka disahkan meninggal dunia, manakala tiga lagi dirawat sebagai pesakit luar. Seorang mangsa berusia 30 tahun pula dirujuk ke Hospital Nyabau Bintulu untuk rawatan lanjut," katanya.

Siasatan awal mendapati kesemua mangsa dipercayai mengalami keracunan akibat memakan umbut rotan atau Calamus Castaneus, yang berkemungkinan mengandungi toksin berbahaya jika dimakan.

DSP Jame menegaskan, pemeriksaan awal menunjukkan tiada unsur jenayah dan kedua-dua mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Nyabau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan berhati-hati sebelum memakan sebarang tumbuhan hutan yang tahap keselamatannya tidak diketahui.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Ketua Polis Balai Tatau, SJN Rafiziezuan Mohd. Yakop di talian 016-5254225.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE