fb fb fb fb fb

Usahawan 'gulung tikar', impak pandemik COVID-19

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick

KUALA LUMPUR, 23 November- Kira-kira 8.85 peratus usahawan telah gulung tikar pada April 2020 selepas terkesan ekoran pandemik COVID-19 dan kenaikan harga barang.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata berdasarkan data kaji selidik yang dilaksanakan oleh KUSKOP, kesan pandemik COVID-19 dan kenaikan harga barang dilihat menyebabkan sebilangan kecil usahawan terpaksa menutup terus operasi perniagaan.

Beliau berkata sebanyak 3.16 peratus usahawan telah gulung tikar direkodkan pada Jun 2021 dan 2.7 peratus pada November tahun lalu.

"KUSKOP melalui agensi-agensi di bawahnya telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi memulihkan semula perniagaan mereka dengan tindakan-tindakan seperti menyediakan bantuan pinjaman kewangan antaranya seperti skim-skim pembiayaan di bawah TEKUN Nasional dan Skim Pembiayaan Ikhtiar di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

"Agensi-agensi pembiaya di bawah KUSKOP juga telah mempermudahkan proses permohonan dengan mengurangkan dokumentasi yang diperlukan dan memendekkan tempoh masa memproses permohonan", katanya di Dewan Rakyat.

KUSKOP turut bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk pelaksanaan Program Intervensi Peluang Kedua.

Ia berupaya membantu usahawan yang berdepan dengan masalah pengurusan kewangan yang serius dan berisiko muflis.  

Beliau menjawab pertanyaan Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu), pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri.

ROSLINA BINTI DIN