SHAH ALAM, 23 NOVEMBER- Kestabilan politik di bawah Kerajaan Perpaduan mendorong industri besar melabur di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia akan membantu dalam kurikulum serta latihan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan sebagainya.
"Kestabilan politik bawah Kerajaan Perpaduan mengundang banyak industri-industri besar. Semalam saya pulang dari San Francisco, selain dari mesyuarat Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan mengetengahkan isu Palestin di hadapan Presiden Joe Biden. Saya turut menggunakan ruang dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk menemui syarikat-syarikat gergasi lain seperti Facebook, Google, TikTok dan Elon Musk. Saya turut mengajak mereka datang ke Malaysia untuk memenuhi keperluan anak-anak," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir 2023 di sini.
Sementara itu, menurut Anwar kemajuan teknologi telah memberi impak yang sangat besar kepada hampir semua sistem yang ada di dunia.
Seiring dengan cabaran tersebut, semua sektor perlu mempersiapkan diri tidak kira dalam bidang ekonomi, sosial dan sebagainya.
Justeru, peningkatan kemahiran digital adalah penting bagi memastikan pekerja sentiasa dapat mengadaptasi kemahiran mereka sejajar dengan perkembangan semasa.