fb fb fb fb fb

Usaha pupuk perpaduan, YADIM santuni lebih 200 keluarga sempena Tahun Baharu Cina

(Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar)

KUALA LUMPUR, 5 Februari - Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) mengambil inisiatif menyantuni lebih 200 keluarga sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, ia merupakan usaha YADIM memupuk semangat perpaduan kepada masyarakat khususnya rakan-rakan dalam komuniti Cina dan masyarakat bukan Muslim selari dengan gagasan Malaysia Madani.

"Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada YADIM kerana telah mengadakan jamuan pada pagi ini, dan seperti mana dalam ucapan saya yang telah saya sebutkan tadi bahawa program yang diadakan pada pagi ini dan sehingga tengah hari ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, bangsa, agama," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Jamuan Muhibbah Tahun Baharu Cina, di sini hari ini.


(Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar merasmikan Jamuan Muhibbah Tahun Baharu Cina anjuran YADIM) 

Pada majlis tersebut Mohd Na’im telah menyampaikan sumbangan dan barang keperluan dapur kepada 100 keluarga mualaf serta kanak-kanak di sekitar kawasan Bandar Tun Razak.

Ketika majlis sama, YADIM turut mengambil kesempatan mengadakan Jualan Rahmah yang menawarkan pelbagai barangan harian pada potongan harga hingga 50 peratus untuk penduduk sekitar.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Media Baharu