fb fb fb fb fb

JPJ galakkan syarikat pengendali kenderaan hantar jurupandu hadiri kursus pembangunan

(Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, M. Janagarajan)

KOTA BHARU, 5 Februari - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggalakkan syarikat dan pengendali kenderaan sama ada bas atau pengangkutan untuk menghantar jurupandu bagi
menghadiri kursus pembangunan pasukan itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, M. Janagarajan berkata, ia bertujuan bagi memberi pendedahan semula teknik dan dasar serta peraturan yang baharu khususnya kepada pemandu yang telah menerima lesen lebih 10 tahun.

Katanya, kursus tersebut diharap dapat memastikan pemandu mengendalikan kenderaan mereka secara lebih berhemah supaya keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya yang lain terkawal.

Menurut beliau, pihaknya mendapati kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini masih tinggi walaupun mempunyai infrastruktur kelas pertama.


(Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, M. Janagarajan merasmikan majlis penutup Kursus
Pembangunan Pasukan Kepada Jurupandu Perkhidmatan Bas Ekspres Konsortium E-Mutiara
Berhad di Kota Bharu, Kelantan)  

"Kami peringkat JPJ kami sentiasa bersedia selagi usaha murni untuk memastikan keselamatan jalan raya dan keselamatan orang awam dan harta benda kerajaan dan harta benda persendirian terjamin, kami semua bersedia ini adalah selaras dengan deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menetapkan bahawa pada tahun 2030 nanti kada kemalangan jalan raya ini dikurangkan kepada 50 peratus," kata beliau pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Kursus Pembangunan Pasukan Kepada Jurupandu Perkhidmatan Bas Ekspres Konsortium E-Mutiara Berhad di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia Wilayah Timur, di sini hari ini.

Kursus yang julung kalinya diadakan bersama syarikat swasta itu dihadiri oleh lebih 100 pemandu bas syarikat berkenaan.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya berharap 182 syarikat pengusaha bas ekspress akan tampil bekerjasama dengan pihak JPJ bagi mengadakan kursus tersebut.

Media Baharu