fb fb fb fb fb

Usaha mempercepat kiraan, tuntutan nafkah selepas perceraian diteliti

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar/ BERNAMA

SHAH ALAM, 5 September - Penguatkuasaan perintah nafkah terhadap bapa kepada bekas isteri dan anak-anak selepas berlaku perceraian akan terus ditambah baik bagi memastikan tidak ada golongan yang tertindas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Antara penambahbaikan yang akan dilakukan adalah dengan membangunkan formula bagi memudahkan Mahkamah Syariah menentukan kadar nafkah segera kepada bekas isteri dan anak-anak daripada pasangan yang bercerai.

Pihaknya juga sedang melihat kaedah bagi membantu mempercepatkan lagi proses tuntutan nafkah tanpa memerlukan bekas isteri atau anak melantik peguam bagi mendapatkan hak mereka, katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Keluarga (ICFL) 2024 di sini, hari ini.

Lebih 350 peserta menyertai persidangan itu termasuk Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Ketua Hakim Syarie Negeri, Pegawai Baitulmal dan Pegawai di Jabatan Mufti.

Dalam pada itu, Dr Mohd Na'im memaklumkan penguatkuasaan perintah nafkah di negara ini sudah pun melalui proses penambahbaikan sejak 2010 dengan penubuhan Bahagian Sokongan Keluarga di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Trainee2