fb fb fb fb fb

Usaha bawa pulang rakyat Malaysia dari Iran diatur secara terperinci

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin / Foto BERNAMA

BATU PAHAT, 22 Jun - Usaha membawa pulang rakyat Malaysia dari Iran sedang diselaras oleh kerajaan melalui Kementerian Luar, dengan kerjasama pegawai kedutaan Malaysia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, laluan keluar untuk kepulangan ke tanah air turut sedang diatur secara terperinci.

"Saya percaya pendirian Kementerian Luar telah pun diperjelaskan, termasuk penglibatan anggota-anggota kedutaan Malaysia. Segala perancangan telah disusun rapi, merangkumi laluan keluar, negara persinggahan, serta kaedah kepulangan individu terbabit ke Malaysia," katanya kepada media ketika ditemui pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat di sini, hari ini.

Kelmarin, Kementerian Luar memaklumkan bahawa pihaknya berada pada peringkat akhir memuktamadkan usaha membawa pulang rakyat Malaysia serta ahli keluarga mereka dari Iran, susulan konflik yang sedang berlaku antara Israel dan Iran.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE