KUALA LUMPUR , 10 Ogos - Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) melakukan penjenamaan semula melibatkan pindaan perlembagaan, memantapkan struktur kepimpinan dan pembaharuan imej di semua peringkat.
Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Yang Dipertua PEMADAM Kebangsaan Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, perkara itu bagi memastikan organisasi berkenaan kekal relevan dan berkesan dalam menghadapi cabaran baharu gejala dadah di negara ini.
Perubahan trend penyalahgunaan dadah, termasuk peningkatan penglibatan golongan muda, wanita, serta mereka yang berpendidikan tinggi, menuntut kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) menyesuaikan pendekatan dan hala tuju yang baharu
"Melihat tren baharu di mana majoriti penagih berusia antara 15 hingga 39 tahun, termasuk golongan profesional dan berpendidikan tinggi, malah ada yang memiliki Doktor Falsafah (PhD). Trend ini membimbangkan dan memerlukan pendekatan lebih strategik," katanya.
Beliau berkata demikan ketika ditemui pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
PEMADAM akan menumpukan kepada program berfokus, bersasar dan berimpak tinggi, selain mengurangkan aktiviti bersifat hiburan dengan menyasarkan setiap peringkat bagi memudahkan pengukuran pencapaian atau Indeks Prestasi Utama (KPI).
"Tidak mahu sekadar menjalankan program, perlu ada ukuran jelas kejayaan. Selepas perhimpunan hari ini, kita akan tetapkan KPI di peringkat daerah dan negeri," katanya lagi.
Dalam pada itu beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, selaras dengan usaha nasional memerangi dadah termasuk melalui pelaksanaan Dasar Dadah Negara dan kempen komunikasi bersepadu.