fb fb fb fb fb

KPKT komited siap projek perumahan Taman Palma tahun ini

Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu meninjau projek perumahan Taman Palma di Pokok Sena.

POKOK SENA, 10 Ogos - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Pasukan Petugas Perumahan Swasta Sakit, Lewat dan Terbengkalai (TFST) komited memastikan projek perumahan Taman Palma di sini disiapkan segera.

Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, semua gerak kerja perlu dipercepatkan dengan kerjasama semua pihak bagi membolehkan rumah lengkap dengan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) diserahkan kepada pembeli tahun ini.

Menurutnya, kelewatan projek berpunca daripada kerja Horizontal Directional Drilling (HDD), pemasangan kabel elektrik dan peralatan pencawang yang masih belum dimulakan di Jalan Pokok Sena. Ini sekali gus menjejaskan kerja penurapan jalan serta pemeriksaan sistem pembetungan.

Berdasarkan Laporan Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS) Sesi 2/2025 sehingga Jun, projek ini berstatus sakit. Namun, pemaju menjangkakan CCC dapat diperoleh pada Disember ini.

Taman Palma melibatkan 45 unit kediaman, terdiri daripada tiga unit banglo dan 42 unit rumah berkembar.

TUN JULIA MOHD TAHIR