ALOR SETAR, 22 Jun- Rakyat Kedah daripada pelbagai kaum dan latar belakang menyifatkan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, yang menyambut ulang tahun Hari Keputeraan ke-83 hari ini, sebagai seorang pemerintah yang amat dekat di hati mereka.
Baginda dikenali sebagai raja berjiwa rakyat yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat dan kemajuan negeri dalam setiap titah serta tindakan.
Menurut Timbalan Dekan Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Kamarul Azman Khamis, keprihatinan berterusan baginda bukan sahaja meringankan beban rakyat, bahkan turut memperkukuhkan hubungan erat antara institusi diraja dan rakyat jelata.
“Sultan Kedah adalah sultan yang berjiwa rakyat. Inilah yang dikatakan sultan yang cakna dan prihatin kepada rakyat. Dalam aspek pendidikan misalnya, Tuanku sangat menitikberatkan keperluan ilmu sebagai asas penting pembangunan rakyat Kedah. Selamat Hari Ulang Tahun Keputeraan kepada Sultan Kedah,” ujarnya.
Prof Madya Dr Kamarul Azman Khamis
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Bumiputera Siam Malaysia, Datuk Seri Boon Som Inong menyifatkan baginda sebagai raja yang sentiasa menjaga kebajikan semua kaum, termasuk komuniti Siam yang merupakan antara kaum minoriti di negeri ini.
“Kami rakyat Kedah, termasuk masyarakat Siam, sentiasa mendoakan agar Tuanku dikurniakan kesihatan yang cemerlang dan dipanjangkan usia. Kami amat kagum dengan keprihatinan baginda yang sentiasa memberi layanan saksama kepada semua, termasuk kami sebagai kaum minoriti,” katanya.
Datuk Seri Boon Som Inong
Bagi Pengerusi Rimba Aerobic Club (RAC) Alor Setar, Datin Seri Wendy Tham, pemerintahan Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin disanjung tinggi kerana sifatnya yang penyayang dan adil terhadap rakyat.
“Patik mewakili seluruh ahli Kelab Rimba Aerobic Alor Setar mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Menyambut Hari Keputeraan KDYMM Tuanku. Patik mendoakan agar Tuanku sentiasa dilimpahi kesejahteraan, dikurniakan kesihatan yang baik, dan dilanjutkan usia untuk terus memayungi Negeri Kedah. Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku,” katanya penuh semangat.